Selayang Pandang PMKL

 

Politeknik METrO Kuala Lumpur (PMKL) adalah Politeknik METrO pertama di Malaysia dan merupakan politeknik ke 28 yang ditubuhkan di bawah pengurusan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi.

 

Bermula dengan kampus sementara di Politeknik Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, PMKL telah berpindah ke kampus tetap di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 1 Julai 2011. Majlis perasmian dan pelancaran PMKL telah diadakan pada 21 Julai 2011 yang disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi pada masa itu, Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin.

 

PMKL menawarkan program bagi memenuhi keperluan sektor perkhidmatan.  Tiga program yang ditawarkan adalah Diploma Pengurusan Peruncitan, Diploma Pengurusan Hotel, dan Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital – Game Track).

 

Keunikan program-program yang ditawarkan di PMKL ialah  proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara kaedah pembelajaran berasaskan kerja (Work-based Learning-WBL) bagi program Diploma Pengurusan Peruncitan dan Diploma Pengurusan Hotel.  Kaedah ini memberi pendedahan kepada pelajar dengan situasi kerja sebenar di industri peruncitan dan perhotelan.  Manakala bagi program Diploma Teknologi Maklumat, pelajar melalui Latihan Industri selama satu semester dan pelajar didedahkan dengan aktiviti yang dilaksanakan bersama industri yang berpengalaman di dalam projek akhir semester. 

 

Antara kelebihan  kaedah pembelajaran secara WBL dan latihan industri adalah seperti berikut:

 

  • Pelajar dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran industri di dalam bidang perhotelan, peruncitan dan teknologi maklumat;
  • Pelajar dapat meningkatkan kemahiran insaniah di tempat kerja seperti komunikasi, kerja berpasukan, dan merancang projek dengan berkesan; dan
  • Pelajar diberi peluang menjalani latihan praktikal di industri yang berpengalaman dan ternama;

 

Pelajar-pelajar yang menamatkan program di PMKL mampu untuk menjadi seorang graduan yang berkemahiran dan memenuhi kehendak pasaran.